Wednesday 23 May 2012

GURU PERMULAAN OLEH  DR. ISMAL ZAIN
 
PADA umumnya impak sesuatu pembelajaran dan pengajaran boleh diukur dari sudut penyampaian seseorang guru ketika mengajar. Gaya penyampaian pula dipengaruhi oleh aspek kemahiran bidang kepakaran, kemahiran berkomunikasi, kemahiran pengintegrasian media pengajaran dan kemahiran insaniah. 

Setiap guru harus mahir dalam  bidang kepakaran masing-masing sama ada ia merupakan ilmu dalam bidang akademik mahupun yang bukan akademik seperti sukan dan seni. 

Segala maklumat harus berada di hujung jari ketika menyampaikannya di hadapan murid-murid.  Keadaan ini akan meyakinkan murid-murid serta membebaskan guru daripada tertumpu pada buka teks atau rujukan di tangan. Walau bagaimanapun bidang kepakaran ini harus disokong dengan kemahiran berkomunikasi dan kemahiran pengintegrasian media pengajaran.  Dalam erti kata yang lain gaya guru menggunakankan pelbagai kaedah  untuk menjadikan proses pembelajaran dan pengajaran lebih menarik dan mempengaruhi minat dan tumpuan murid amatlah penting serta menjadi satu keperluan dalam usaha mewujudkan keadaan bilik darjah yang ceria dan menyeronokkan.

Proses pembelajaran dan pengajaran merupakan satu tugas rutin dan berlaku berulang kali.  Topik yang sama diajar pada semua kelas yang terlibat tetapi gaya penyampaian guru kepada murid haruslah berbeza-beza mengikut kesesuaian.

Oleh itu apa yang membezakan antara satu kelas dan satu kelas yang lain atau seseorang guru dengan seseorang guru yang lain ialah kreativiti serta inovasi.  Isi pengajarannya adalah sama tetapi gaya penyampaiannya harus berbeza.
Seseorang guru haruslah mencari jalan, ruang dan peluang untuk meneroka strategi pedagogi yang terbaik untuk diaplikasikan dalam bilik darjah.

Seseorang guru yang berinovatif  sentiasa meneroka bahan, kaedah, teknik dan strategi  sebagai satu pembaharuan untuk diaplikasikan dalam proses pembelajaran dan pengajarannya.  

Segala bentuk aktiviti yang dijalankan harus pula mampu membentuk modal insan yang berkualiti baik dari aspek fizikal, mental dan spiritual dan dapat dipamerkan melalui prestasi yang baik dalam bentuk kurikulum dan kokurikulum. 

Ciri-ciri inilah yang amat diharapkan melalui Standard Kualiti Pendidikan Malaysia (SKPM) yang menjadi alat pengukur keberkesanan dan kompetensi seseorang guru terutamanya pada Standard 4 iaitu Pembelajaran dan Pengajaran dan Standard 5  Kemenjadian Murid.

Kedua-dua aspek ini memberi penekanan terhadap peranan, usaha, kreativiti dan inovasi guru dalam memantapkan proses pengajarannya ke arah kemenjadian murid hasil daripada kesan proses pembelajaran dan pengajaran yang dilaksanakan.
Apabila guru dapat mengamalkan sifat yang inovatif maka sudah tentu segala bentuk hala tuju dan aspirasi negara untuk melakukan transformasi mampu dilonjakkan.

Justeru, kejayaan dalam apa bentuk transformasi yang ingin dicapai terletak di bahu guru dan guru harus memikul tanggungjawab ini sebagai satu cabaran dan jihad untuk melahirkan insan yang seimbang dan berakhlak mulia seperti mana yang termaktub dalam Falsafah Pendidikan Kebangsaan.

No comments:

Post a Comment