GURU PERMULAAN OLEH DR. ISMAL ZAIN
PADA umumnya impak sesuatu
pembelajaran dan pengajaran boleh diukur dari sudut penyampaian
seseorang guru ketika mengajar. Gaya penyampaian pula dipengaruhi oleh
aspek kemahiran bidang kepakaran, kemahiran berkomunikasi, kemahiran
pengintegrasian media pengajaran dan kemahiran insaniah.
Setiap guru harus mahir dalam bidang
kepakaran masing-masing sama ada ia merupakan ilmu dalam bidang
akademik mahupun yang bukan akademik seperti sukan dan seni.
Segala maklumat harus berada di
hujung jari ketika menyampaikannya di hadapan murid-murid. Keadaan ini
akan meyakinkan murid-murid serta membebaskan guru daripada tertumpu
pada buka teks atau rujukan di tangan.
Walau bagaimanapun bidang kepakaran
ini harus disokong dengan kemahiran berkomunikasi dan kemahiran
pengintegrasian media pengajaran. Dalam erti kata yang lain gaya guru
menggunakankan pelbagai kaedah untuk menjadikan proses pembelajaran dan
pengajaran lebih menarik dan mempengaruhi minat dan tumpuan murid
amatlah penting serta menjadi satu keperluan dalam usaha mewujudkan
keadaan bilik darjah yang ceria dan menyeronokkan.
Proses pembelajaran dan pengajaran
merupakan satu tugas rutin dan berlaku berulang kali. Topik yang sama
diajar pada semua kelas yang terlibat tetapi gaya penyampaian guru
kepada murid haruslah berbeza-beza mengikut kesesuaian.
Oleh itu apa yang membezakan antara
satu kelas dan satu kelas yang lain atau seseorang guru dengan seseorang
guru yang lain ialah kreativiti serta inovasi. Isi pengajarannya
adalah sama tetapi gaya penyampaiannya harus berbeza.
Seseorang guru haruslah mencari
jalan, ruang dan peluang untuk meneroka strategi pedagogi yang terbaik
untuk diaplikasikan dalam bilik darjah.
Seseorang guru yang berinovatif
sentiasa meneroka bahan, kaedah, teknik dan strategi sebagai satu
pembaharuan untuk diaplikasikan dalam proses pembelajaran dan
pengajarannya.
Segala bentuk aktiviti yang
dijalankan harus pula mampu membentuk modal insan yang berkualiti baik
dari aspek fizikal, mental dan spiritual dan dapat dipamerkan melalui
prestasi yang baik dalam bentuk kurikulum dan kokurikulum.
Ciri-ciri inilah yang amat diharapkan
melalui Standard Kualiti Pendidikan Malaysia (SKPM) yang menjadi alat
pengukur keberkesanan dan kompetensi seseorang guru terutamanya pada
Standard 4 iaitu Pembelajaran dan Pengajaran dan Standard 5 Kemenjadian
Murid.
Kedua-dua aspek ini memberi penekanan
terhadap peranan, usaha, kreativiti dan inovasi guru dalam memantapkan
proses pengajarannya ke arah kemenjadian murid hasil daripada kesan
proses pembelajaran dan pengajaran yang dilaksanakan.
Apabila guru dapat mengamalkan sifat
yang inovatif maka sudah tentu segala bentuk hala tuju dan aspirasi
negara untuk melakukan transformasi mampu dilonjakkan.
Justeru, kejayaan dalam apa bentuk
transformasi yang ingin dicapai terletak di bahu guru dan guru harus
memikul tanggungjawab ini sebagai satu cabaran dan jihad untuk
melahirkan insan yang seimbang dan berakhlak mulia seperti mana yang
termaktub dalam Falsafah Pendidikan Kebangsaan.